Bermula dengan modal RM40, tukang jahit berjaya buka bengkel & upah 27 pekerja

Bermula dengan modal RM40, tukang jahit berjaya buka bengkel & upah 27 pekerja

Siapa sangka, dengan bermodalkan RM40 untuk mengambil upah, seorang tukang jahit dari Pokok Sena, Kedah kini tersenyum lebar kerana kerja kerasnya sejak tahun 2015 membuahkan hasil.

Siti Hajar Mydin berkata, kejayaan yang dikecapi sekarang tidaklah datang bergolek. Sebaliknya terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk hanya berpendapatan kira-kira RM100 sebulan selepas terdapat seorang pelanggannya enggan membayar upah menjahit.

Modal RM40 kini capai pulangan pendapatan RM30,000 sebulan

Wanita berusia 56 tahun itu meluahkan ketidaksangkaan apabila mampu mencapai pendapatan lebih RM30,000 sebulan. Semuanya itu adalah berkat kesabarannya melayan kerenah pelanggan dari awal penglibatannya iaitu pada tahun 2005 sehinggalah 2010.

Katanya, segalanya berubah apabila membuat keputusan untuk membuat pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM2,000 untuk dijadikan sebagai modal menjahit telekung.

Mulanya tiada sesiapa berminat nak jual telekung hasil jahitannya sehinggalah…

Bercerita lanjut, Siti Hajar kemudiannya berjalan dari satu kedai ke satu kedai di Pekan Rabu, Alor Setar bagi mempromosikan telekung hasil jahitannya. Malangnya, tiada seorang peniaga berminat.

Namun, sehinggalah satu hari, seorang rakan kenalannya berminat untuk menjual hasil telekung jahitannya pada tahun 2011.

“Selepas itu, saya ke butik-butik pakaian di sekitar Alor Setar. Permulaannya, ada yang ambil 10 pasang sahaja. Kemudiannya, semakin meningkat sehinggalah saya menambah pinjaman untuk dijadikan modal dan memperbesarkan bengkel jahitan,”ujarnya.

Tambah Siti Hajar, tujuannya membesarkan bengkel jahitan di rumah adalah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kalangan pelanggan.

Jadi pembekal telekung & ada 27 pekerja

Kini, Siti Hajar sudah menjadi pembekal telekung kepada peniaga-peniaga yang mahu mempuyai jenama sendiri.

Disebabkan itu, dia kini mempunyai 27 orang pekerja bagi membantu mempercepatkan tempahan telekung pelanggannya. Malah, dia turut menerima tempahan dari pelbagai butik dari seluruh negara.

Terbaharu, Siti Hajar mendapat projek menjahit telekung daripada seorang pereka fesyen tersohor tanah air yang membuat tempahan sebanyak 5,000 pasangan telekung dan 6,000 pasang kain pelekat dengan projek mencecah RM700,000.

Wow, sangat mengagumkan! Bukan senang nak dapatkan kepercayaan individu berpengaruh.

Berjaya miliki 36 rekaan telekung dari pelbagai jenis kain

Selain itu, usahawan yang tidak lokek dengan ilmu ini memberitahu dia kini mempunyai 36 hasil rekaan telekung daripada pelbagai jenis kain mengikut pesanan pelanggan.

“Alhamdulillah, pelanggan berpuas hati dengan produk saya. Saya akan pastikan setiap telekung yang dijahit dapat memberikan keselesaan di bahagian muka dan labuh,”katanya.

Ibu kepada seorang anak ini berkata, dia sangat berterima kasih kepada AIM kerana telah banyak membantunya sehinggalah berjaya ke tahap sekarang.

Atas bantuan dan pinjaman AIM, dia dapat mempunyai pelbagai jenis mesin seperti menjahit rekaan sulaman menerusi perisian yang dibelinya bernilai RM120,000.

Katanya lagi, walaupun sudah berjaya, dia kini masih membuat pinjaman dengan AIM untuk pusingan modal dan akan dibayar dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

LihatTutupKomentar