TAPAH: Seorang wanita maut diseret selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 57 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, dekat sini, pagi ini.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Shahriza Ishak, 39 tahun, yang beralamat di Jalan Chederiang Lama, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kira-kira jam 7.15 pagi, pihaknya menerima maklumat berlaku satu kemalangan di atas jambatan Sungai Batang Padang.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dan motosikal datang dari arah sama iaitu dari arah Tapah menghala ke Kampar.
“Apabila sampai di tempat kejadian disyaki telah berlaku pergeseran di antara kedua-dua kenderaan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan diseret kira-kira 1.5 meter dari tempatnya terjatuh,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian.
Katanya, pemandu treler telah ditahan dan hasil saringan awal urin mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1977