Tiga maut dalam kemalangan di Pagoh

Tiga maut dalam kemalangan di Pagoh



MUAR: Tiga maut dalam kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah bas ekspres  di KM142 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Pagoh di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata mereka yang meninggal dunia adalah pemandu bas ekspres itu dikenal pasti sebagai Shuaib K.K Mohamed Unny, 50, dari Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, Perak.
Beliau berkata dua lagi yang meninggal dunia adalah penumpang bas masing-masing wanita Melayu berusia 20-an dan 50-an, yang masih belum dikenal pasti identiti mereka kerana dokumen pengenalan mereka masih belum ditemui dan semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kira-kira jam 1.15 petang ini (semalam) berlaku kemalangan tersebut. Siasatan awal mendapati lori kontena yang membawa muatan pallet dari arah Tol Pagoh ke Kuala Lumpur ketika menuruni susur dipercayai bergesel dengan lori tangki di bahagian tepi belakang kiri menyebabkan pemandu lori kontena hilang kawalan.
“Akibatnya lori kontena terbalik melintang di tengah jalan. Kemudian sebuah bas dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang membawa 27 penumpang telah melanggar muatan kontena yang telah tertanggal daripada badan lori tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.
Zaharudin berkata, 22 penumpang bas itu mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan selanjutnya, manakala ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk urusan bedah siasat.
“Pemandu lori kontena itu cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan. Seorang kelindan dan tiga penumpang bas serta pemandu lori tangki itu tidak cedera. Ketika kejadian didapati jalan raya sibuk di kedua-dua arah dan cuaca adalah dalam keadaan baik,” katanya.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Muar Marzuki Ismail berkata, 13 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar, dan 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat  Bukit Gambir terlibat dalam operasi itu yang tamat sekitar jam 2.10 petang semalam. — Bernama
LihatTutupKomentar