Hashim Mustapha meninggal dunia

Hashim Mustapha meninggal dunia

Kota Bharu: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha menghembuskan nafas terakhir pada 10.25 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian.

Berita itu disahkan isterinya, Zaheran Hussien, 52, ketika dihubungi sebentar tadi.
Zaheran berkata, keadaan kesihatan suaminya itu semakin merosot sejak pagi tadi apabila bacaan tekanan darahnya semakin menurun.

"Sejak dimasukkan ke hospital pada tengah hari Jumaat lalu, suami ditidurkan kerana masalah itu serta jantungnya tidak stabil.

"Pagi tadi keadaannya semakin merosot dan pada 10.26 malam tadi, suami disahkan meninggal dunia," katanya.

Zaheran berkata, semua urusan sedang diselesaikan dan jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka di Jalan Masjid Baung Bayam, di sini.

Menurutnya, jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baung Bayam, di sini, pagi esok.

Mohd Hashim yang menghidap penyakit kencing manis dan kaki kirinya sudah dipotong pada Oktober lalu meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.

LihatTutupKomentar